Showing posts with label Hinamatsuri. Show all posts
Showing posts with label Hinamatsuri. Show all posts

Makanan Istimewa Hina Matsuri

Monday, March 3, 2014


Assalamualaikum, Selamat Pagi & Ohayou semua~! ^^

Bersempena Hina Matsuri yang jatuh pada hari ini (3 Mac), kami akan sambung sedikit cerita tentang Hina Matsuri yang kami post sebelum ini.

Sebut tentang perayaan, seperti perayaan kita di Malaysia, juadah atau makanan adalah salah satu perkara penting yang membezakan hari perayaan dengan hari-hari biasa. Jadi di sini kami akan membawakan jenis-jenis makanan istimewa yang dihidangkan semasa Hina Matsuri ^^

Hishi Mochi  (菱餅, ひしもち)


Hishi mochi ialah sejenis makanan istimewa yang dihidangkan semasa perayaan Hina Matsuri. Hishi mochi diperbuat daripada beras dan berbentuk seperti permata. Makanan ini mempunyai tiga lapisan warna iaitu:

++ Merah jambu (melambangkan bunga Sakura)
++ Putih (melambangkan salji)
++ Hijau (melambangkan rumput yang menghijau (pertumbuhan))

Warna-warna ini juga sebenarnya melambangkan perubahan daripada musim sejuk ke musim bunga.

Arare  (あら)


Arare ialah sejenis snek yang diperbuat daripada beras pulut dan diperisakan dengan kicap soya. Saiz dan bentuk yang membezakan rarae daripada senbei (sejenis snek daripada beras pulut juga tetapi lebih besar). Arare dinamakan bersempana “pelet salji” Graupel. Arare juga dikenali sebagai kakimochi.

Rupa bentuk “pelet salji” Graupel

Terdapat pelbagai jenis arare yang berbeza saiz, warna dan bentuk. Sesetengahnya manis dan sesetengahnya masin. Antara jenis arare ialah norimaki arare (arare yang dibalut dengan nori (rumpai laut) yang dikeringkan. Selain itu, terdapat juga kaki no tane (柿の), diambil sempena rupanya yang berbentuk seperti persimmon (pisang kaki) (“kaki” ialah persimmon dalam Bahasa Jepun). Kaki no tane kebiasaanya dijual bersama kekacang dan kombinasi ini dikenali sebagai kakipi (かきピ)

Norimaki arare

 Kaki no tane

Osekihan (お赤飯)


Osekihan ialah sejenis nasi yang diperbuat daripada pulut Jepun yang kebiasaannya dihidang semasa majlis khas seperti kelahiran bayi, ulangtahun kelahiran, pertunangan, perkahwinan, cuti dan sebagainya. Osekihan juga dihidangkan semasa Hinamatsuri.

Osekihan adalah sejenis hidangan nasi yang berwarna kemerahan, diperbuat daripada pulut dan kacang azuki. Variasi lain makanan ini ialah di mana pulut dicampur dengan beras putih pendek. Selalunya sekihan akan dihidangkan dengan gomashio atau bijan hitam dan garam.

Namun pada masa kini, osekihan (atau sekihan) masih dihidangkan semasa perayaan, namun dinikmati juga semasa makan tengahari atau makan malam. 

***

Menarik, kan? :) Jadi sampai di sini sahaja. Tunggu post kami seterusnya untuk topik menarik yang lain~ 

Hina Matsuri ひな祭り

Sunday, February 16, 2014

Minna-san~ Konbanwa (:


Pada kali ini kami akan menceritakan tentang salah satu perayaan penting yang disambut oleh rakyat Jepun, iaitu Hina Matsuri (ひな祭り) "Perayaan Anak Patung" (Hina = patung) yang dikenali juga sebagai Momo-no-Sekku (桃の節句) yang membawa maksud Perayaan Bunga Sakura. Perayaan ini disambut setiap 3 Mac, di mana ia adalah acara penting yang berasal daripada adat Cina dan telah wujud sejak Era Edo (abad 17-19).

Perayaan ini disambut khas untuk anak gadis bagi memastikan kebahagiaan mereka pada masa hadapan. Untuk perayaan ini, setiap keluarga akan menghias Hina-ningyo (ひな人形) iaitu anak patung istimewa yang direka khas yang menggambarkan maharaja, maharani dan orang bawahan pada zaman dahulu kala.

Anak patung ini kebiasaannya adalah warisan turun-temurun, dari generasi ke generasi. Hina-ningyo akan dipamerkan untuk beberapa hari di bilik yang sesuai dan akan disimpan semula untuk digunakan pada tahun seterusnya.

Satu contoh Hina-ningyo

Satu set Hina-Ningyo terdiri daripada 15 anak patung, yang mana kesemuanya memakai persalinan zaman dahulu kala.  Set ini juga termasuk peralatan rumah mini yang mempamerkan hasil seni yang indah. Anak patung yang paling tinggi nilainya ialah Dairi-sama, mewakili maharaja (Otoko-bina/Odairi-sama) dan maharani (Onna-bina/Ohina-sama) di dalam persalinan sutera. Diikuti oleh dua menteri, tiga dayang istana (san-nin kanjo) dan lima ahli muzik istana (go-nin bayashi), dua pengawal (u-daijin dan sa-daijin) dan tiga hamba. Kesemua anak patung ini disusun di para yang bertingkat (berbentuk seperti tangga), kebiasaannya lima tingkat (atau tujuh tingkat), 3 hingga 6 kaki panjang dan ditutup dengan kain merah. Para ini hanya khas dipasang di rumah pada hari tersebut sahaja. Sesetengah Hina-ningyo juga mempunyai 3 penyair (pakar tanka Jepun termasuk penyair masyhur, Onono Komachi)  dan perhiasan berbentuk kura-kura dan burung jinjang yang melambangkan  tuah. 

Pasangan maharaja dan maharani akan diletakkan di tingkat paling atas di mana maharaja berada di sebelah kiri maharani. Dayang dan dulang hidangan diletakkan di tingkat kedua manakala anak patung yang lainnya disusun di tingkat ketiga dan seterusnya. 

Pada zaman dahulu, mereka akan membuat anak patung daripada kertas supaya nasib malang dapat dipindahkan kepada patung tersebut. Patung-patung tersebut dikumpulkan dan dibawa ke sungai berdekatan dan membuang patung tersebut ke dalam sungai. Perayaan ini juga menandakan bermulanya musim bunga.

(Nota: Bagi rakyat Jepun, bunga Sakura melambangkan  kebahagiaan di alam perkahwinan, dan merupakan perhiasan terpenting semasa perayaan ini. Bunga yang berkembang mekar menandakan sifat-sifat feminin - kelembutan, ketenangan dan kesabaran)

Hina-matsuri juga adalah satu perayaan di mana anak-anak gadis akan mengadakan majlis dan menjemput rakan-rakan untuk diraikan bersama. Antara makanan dan minuman yang dihidangkan ialah Shirozake (sejenis sake yang dibuat daripada malt beras), Hishi mochi (sejenis kek beras berbentuk permata), Arare (snek beras manis yang berwarna-warni) dan Osekihan (pulut yang dimasak bersama kacang merah). Kami akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang makanan istimewa ini pada artikel akan datang! :)

Pelbagai tafsiran dibuat tentang perayaan ini. Setiap keluarga menganggap ia sebagai salah satu bentuk bakti, penyembahan nenek moyang dan kesetiaan. Namun di sebalik semua itu, perayaan ini menunjukkan kasih saying ibu bapa kepada anak-anak yang menjadi kebanggaan dan kegembiraan buat mereka. 

Untuk pengetahuan rakan-rakan, perayaan ini juga mempunyai lagu istimewa yang dinyayikan bersama. Lagu tersebut bertajuk Ureshii Hinamatsuri (Hinamatsuri Yang Menggembirakan).

Akari o tsukemashou bonbori ni
Ohana o agemashou momo no hana
Go-nin bayashi no fue taiko
Kyo wa tanoshii Hinamatsuri


Menarik, bukan? Hingga di sini sahaja. Semoga bertemu lagi~ 
 
FREE BLOGGER TEMPLATE BY DESIGNER BLOGS