Makanan Istimewa Hina Matsuri

Monday, March 3, 2014


Assalamualaikum, Selamat Pagi & Ohayou semua~! ^^

Bersempena Hina Matsuri yang jatuh pada hari ini (3 Mac), kami akan sambung sedikit cerita tentang Hina Matsuri yang kami post sebelum ini.

Sebut tentang perayaan, seperti perayaan kita di Malaysia, juadah atau makanan adalah salah satu perkara penting yang membezakan hari perayaan dengan hari-hari biasa. Jadi di sini kami akan membawakan jenis-jenis makanan istimewa yang dihidangkan semasa Hina Matsuri ^^

Hishi Mochi  (菱餅, ひしもち)


Hishi mochi ialah sejenis makanan istimewa yang dihidangkan semasa perayaan Hina Matsuri. Hishi mochi diperbuat daripada beras dan berbentuk seperti permata. Makanan ini mempunyai tiga lapisan warna iaitu:

++ Merah jambu (melambangkan bunga Sakura)
++ Putih (melambangkan salji)
++ Hijau (melambangkan rumput yang menghijau (pertumbuhan))

Warna-warna ini juga sebenarnya melambangkan perubahan daripada musim sejuk ke musim bunga.

Arare  (あら)


Arare ialah sejenis snek yang diperbuat daripada beras pulut dan diperisakan dengan kicap soya. Saiz dan bentuk yang membezakan rarae daripada senbei (sejenis snek daripada beras pulut juga tetapi lebih besar). Arare dinamakan bersempana “pelet salji” Graupel. Arare juga dikenali sebagai kakimochi.

Rupa bentuk “pelet salji” Graupel

Terdapat pelbagai jenis arare yang berbeza saiz, warna dan bentuk. Sesetengahnya manis dan sesetengahnya masin. Antara jenis arare ialah norimaki arare (arare yang dibalut dengan nori (rumpai laut) yang dikeringkan. Selain itu, terdapat juga kaki no tane (柿の), diambil sempena rupanya yang berbentuk seperti persimmon (pisang kaki) (“kaki” ialah persimmon dalam Bahasa Jepun). Kaki no tane kebiasaanya dijual bersama kekacang dan kombinasi ini dikenali sebagai kakipi (かきピ)

Norimaki arare

 Kaki no tane

Osekihan (お赤飯)


Osekihan ialah sejenis nasi yang diperbuat daripada pulut Jepun yang kebiasaannya dihidang semasa majlis khas seperti kelahiran bayi, ulangtahun kelahiran, pertunangan, perkahwinan, cuti dan sebagainya. Osekihan juga dihidangkan semasa Hinamatsuri.

Osekihan adalah sejenis hidangan nasi yang berwarna kemerahan, diperbuat daripada pulut dan kacang azuki. Variasi lain makanan ini ialah di mana pulut dicampur dengan beras putih pendek. Selalunya sekihan akan dihidangkan dengan gomashio atau bijan hitam dan garam.

Namun pada masa kini, osekihan (atau sekihan) masih dihidangkan semasa perayaan, namun dinikmati juga semasa makan tengahari atau makan malam. 

***

Menarik, kan? :) Jadi sampai di sini sahaja. Tunggu post kami seterusnya untuk topik menarik yang lain~ 

No comments:

Post a Comment

 
FREE BLOGGER TEMPLATE BY DESIGNER BLOGS